topbella

Wednesday 27 April 2011

Hikmah Di Sebalik Ujian Allah..

Setiap manusia yang  Allah ciptakan sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup di dunia yang sentosa ini. Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah menguji dengan berbagai-bagai ujian, tetapi sebabnya adalah sama.

 
Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri, samada Allah hendak menambah iman kita atau Dia hendak menguji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah berputus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera di lautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.


Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus meminta kembali kekuatan kita. Betapa lemah dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.


Jika kita menganggap diri kita ditimpa musibah yang besar, kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita. 


Bukankah, Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Dia tidak akan sekali-kali menguji hamba-Nya diluar kemampuannya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujian-Nya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hamba-Nya.


Allah menguji seseorang bukan kerana Allah membenci kita, tetapi percayalah yang Allah sangat mengasihi kita. Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujian. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Alihkan pandangan matamu ke arah laut, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, penuh keriangan dan gelak tawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya.


Jika berasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah sungai, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika berasa sedih, alihkan pandanganmu ke arah langit, sedarlah, dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita.


Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? Berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt. Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya. Allah itu Maha Mendengar.


Dekatkanlah diri kita dengan Pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita.


Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang merasakan diri mereka tidak kuat untuk menghadapinya. Jangan berputus asa, cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, carilah kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita kepada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.


Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin boleh hidup berseorangan.


Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hamba-Nya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik.




-renungan untuk saya juga-




0 comments:

Hello there !

I'm Dieyaa. Welcome to my blog!