Wafatnya Rasulullah SAW sangat
mengejutkan kaum Muslimin yang sedang berada di dalam masjid. Sebab, pagi
harinya mereka melihat Nabi SAW menunjukkan tanda-tanda kesembuhan.
Setelah mengetahui hal itu, Umar segera
ke tempat disemayamkannya jenazah Rasulullah. Ia tidak percaya bahawa
Rasulullah sudah wafat. Ketika dia datang, dibukanya tutup wajah beliau.
Ternyata beliau sudah tidak bergerak lagi.
Umar menduga bahawa Nabi sedang
pengsan, tentu akan siuman lagi. Mughirah meyakinkan Umar atas kenyataan yang
pahit ini, namun Umar tetap berkeyakinan bahawa Rasulullah tidak wafat. Oleh
kerana itu Mughirah degil dan berkata kepada Umar, "Engkau dusta!"
Kemudian Umar keluar ke masjid sambil
berteriak, "Ada orang dari kaum munafik yang mengira bahawa Rasulullah SAW
telah meninggal dunia. Tetapi demi Allah, sebenarnya dia tidak meninggal,
melainkan ia pergi kepada Tuhan, seperti Musa bin Imran. Ia telah menghilang
dari tengah-tengah masyarakatnya selama 40 hari, kemudian kembali lagi ke
tengah mereka setelah dikatakan dia sudah mati. Sungguh, Rasulullah pasti akan
kembali seperti Musa juga. Orang yang menduga bahawa dia telah meninggal,
tangan dan kakinya harus dipotong! "
Teriakan Umar yang kencang dan
berulang-ulang ini didengar oleh kaum Muslimin di masjid. Mereka pun
kebingungan. Mereka kemudian mengerumuni Umar, mempercayai pendapatnya, bahawa
Rasulullah tidak meninggal.
Tiba-tiba Abu Bakar Ash-Shiddiq datang.
Ketika dilihatnya kaum Muslimin dalam keadaan demikian, dan Umar sedang
berpidato, ia tidak berhenti lama-lama di tempat itu melainkan terus ke rumah
Aisyah tanpa menoleh lagi.
Ketika masuk ke rumah anak
perempuannya, dilihatnya Nabi di salah satu bahagian dalam rumah itu sudah
diselubungi burd hibara (kain buatan Yaman). Abu Bakar menyingkap selubung itu
dari wajah Nabi dan menciumnya sambil berkata, "Alangkah indahnya di waktu
engkau hidup, alangkah indahnya pula di waktu engkau mati. Demi ibu-bapaku, maut
yang sudah ditentukan Allah kepadamu sekarang sudah sampai kau rasakan. Sesudah
itu takkan ada lagi maut menimpa kamu. "
Sesudah itu, Abu Bakar keluar. Ternyata
Umar masih bercakap dan meyakinkan orang-orang bahawa Muhammad SAW tidak
meninggal. Orang banyak memberikan jalan kepada Abu Bakar. "Sabar,
sabarlah Umar!" kata Abu Bakar, setelah ia berada di dekat Umar.
"Dengar!"
Tetapi Umar tidak mau diam dan juga
tidak mahu mendengar. Ia terus saja bicara. Abu Bakar menghampiri orang-orang
itu seraya memberi isyarat, bahawa dia akan bercakap dengan mereka. Setelah
mengucapkan puji syukur kepada Allah Abu Bakar berkata, "Saudara-saudara,
sesiapa mahu menyembah Muhammad, maka Muhammad sudah meninggal. Tetapi
barangsiapa mahu menyembah Allah, maka Allah selalu hidup dan tak pernah
mati."
Kemudian Abu Bakar membacakan firman
Allah, "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah
berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah Jika dia wafat atau dibunuh
kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka
ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan
memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. " (QS. Ali Imran: 144).
Setelah didengarnya Abu Bakar
membacakan ayat itu, Umar jatuh tersungkur ke tanah. Kedua kakinya sudah tak
dapat menahan lagi, setelah ia yakin bahawa Rasulullah memang sudah meninggal
dunia. Adapun orang banyak-yang sebelumnya sudah terpengaruh oleh pendapat
Umar-begitu mendengar bunyi ayat yang dibacakan Abu Bakar, langsung sedar.
Seolah-oleh mereka tidak pernah mengetahui bahawa ayat ini pernah turun. Dengan
demikian segala perasaan yang masih ragu-ragu bahawa Rasulullah SAW sudah
berpulang ke rahmat Allah, boleh dihilangkan.
Taken From : Source
11 Rabiulawal 1434H
MUIP Hostel
Pekan Pahang

0 comments:
Post a Comment